SYEIKH NURUDDIN AL-RANIRI
Nama beliau ialah Nuruddin Muhammad bin Ali bin Hasanji al-Hamid ataupun Al-Syafi’I al-Asyary al-Aydarusi al-Raniri. Beliau dilahirkan di Ranir ( Randir ), iaitu sebuah kota yang terletak di pelabuhan tua di Pantai Gujerat sekitar pertengahan kedua abad ke-16 Masihi. Ibunya berketurunan Melayu manakala ayahnya pula berasal daripada keluarga imigran Hadhramaut.
Nuruddin al-Raniri merupakan seorang ulamak yang memiliki banyak pengetahuan. Dia adalah seorang sufi serta faqih ( ahli hukum ). Beliau mempunyai peranan yang besar dalam menyebarkan dakwah di Nusantara dan beliaulah yang menghubungkan antara tradisi Islam di Timur Tengah dengan tradisi Islam di Nusantara.
Bahkan, Al-Raniri merupakan ulamak pertama yang membezakan penafsiran doktrin ( kuasa ) dan amalan-amalan sufi yang salah serta yang benar. Walaupun usaha sepertinya pernah dilakukan oleh ulamak sebelumnya seperti Fadhlullah al-Burhanpuri namun tidak berhasil. Selain itu, usaha yang sama juga pernah dilakukan oleh Hamzah al-Fansuri dan Samsuddin al-Sumaterani tetapi kedua-dua mereka gagal untuk menjelaskan garis perbezaan tersebut. Dalam pengamatan Syeikh Nuruddin al-Raniri, masalah besar yang dihadapi oleh umat Islam, terutama di Nusantara adalah permasalahan aqidah. Beliau yang dikenali sebagai Syeikh Rifaiyyah juga memiliki perkaitan dengan ajaran tareqat Aydarusiyyah dan Qadariyyah.
Selain daripada mempunyai kepakaran dalam bidang keagamaan, beliau juga merupakan seorang sasterawan yang berjasa dalam menyebarkan Bahasa Melayu di kawasan Asia Tenggara. Karya-karya beliau banyak yang ditulis dalam Bahasa Melayu, sehinggakan menjadikannya sebagai bahasa kedua untuk memahami ajaran agama Islam. Kebanyakan kitab-kitabnya yang ditulis dalam Bahasa Melayu tersebut telah diterima oleh masyarakat di kawasan Asia Tenggara sebagai lingua franca.
0 comments:
Post a Comment